DISEMBER 2022

RM795.711 Juta Biayai Empat Projek Infrastruktur Asas


KUCHING: Peruntukan berjumlah RM795.711 juta untuk Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan dalam Bajet Negeri 2023 akan dibelanjakan bagi membiayai kos empat rancangan pembangunan infrastruktur asas.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, empat rancangan pembangunan infrastruktur asas itu ialah infrastruktur tanah sebanyak RM490.941 juta, infrastruktur sungai (RM83.860 juta), bangunan kerajaan (RM167.410 juta) dan bangunan awam (RM53.500 juta).

“Bajet yang besar itu mencerminkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membangunkan Sarawak dan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan pada persidangan Dewan Undangan Negeri  (DUN) Sarawak di sini.

Uggah berkata, lapan daripada 29 pakej menaik taraf jalan raya pesisir sedia ada telah siap, manakala 21 pakej selebihnya masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada 2024.

Jalan raya pesisir yang siap itu, katanya, ialah Jalan Kota Samarahan/Sadong Jaya sepanjang 15km, jalan Sungai Buloh/Engsengei (8.05km), jalan Sungai Bulohy’Sebuayau (9.6km), jalan Triso/Melebu/Pusa Fasa 1 (8.4km), jalan Trison/Melebu/Pusa Fasa 2 (17.2km), jalan Triso/Melebu/Pusa Fasa 3 (9.1km), jalan Sungai Nyalau/Bakam bahagian pertama (8.1km) dan jalan Sungai Nyalau/Bakam bahagian kedua (27.2km).

Mengenai rancangan Jalan Raya Utama Kedua, beliau berkata, enam daripada 14 pakej sudah ditenderkan iaitu jambatan Batang Saribas No.2, jambatan Batang Saribas ke simpangan Roban, Sebuyau-Lingga, jambatan Sungai Lingga, jambatan Batang Lupar no.2 dan jambatan Batang Lupar no.2, Sri Aman ke simpang Betong.

Beliau memberitahu dewan, setakat Oktober 2022, kemajuan keseluruhan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak siap 89 peratus dengan tujuh daripada seksyennya telah dibuka kepada kenderaan.

Seksyen selebihnya masih dalam pelbagai peringkat pembinaan dan dijangka siap 95% pada 2023 dan siap sepenuhnya pada 2024, katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti